“Jangan buat rombakan dan kekalkan kesebelasan utama negara. Itu perlu dilakukan oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe, jika berhasrat menundukkan Thailand di laman lawan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018, Rabu ini.”

Pandangan itu diutarakan bekas pemain kebangsaan, Shahril Arsat, yang mengakui sangat teruja melihat corak permainan dipamerkan anak buah Cheng Hoe.

Walaupun sedikit kecewa kerana tiada jaringan mampu dihasilkan, Shahril yakin mereka mampu meraih sesuatu di Bangkok jika kesebelasan utama terus dikekalkan.

"Saya rasa Malaysia tiada masalah dengan kesebelasan utama yang ada. Persefahaman dalam kalangan pemain sudah boleh dilihat. Apabila pertukaran dilakukan, kekangan sudah dapat dilihat. Dalam aksi pantas sebegitu, saya faham tenaga yang banyak diperlukan.

"Namun, saya rasa pemain yang diturunkan semalam sudah cukup bagus," ujarnya.

Selain itu, Shahril melihat corak permainan negara mampu kekal konsisten bagi tempoh yang lama dan bukannya bersifat sementara.

"Pemain Malaysia perlu menanamkan satu keazaman dan keyakinan dalam diri mereka. Masing-masing perlu sentiasa mempamerkan peningkatan.

"Walaupun Thailand dikatakan lebih baik berbanding Malaysia, mereka sudah menunjukkan satu permainan yang bagus. Itu sudah menjadi satu tahap yang baik," tambah Shahril.