Sebuah tribunal melibatkan tiga hakim senior akan mengendali proses pendengaran kes melibatkan laporan berkenaan bintang Brazil, Neymar, dan presiden pasukan Barcelona, Josep Maria Bartomeu, yang diadukan sebuah syarikat Brazil, DIS, berkenaan perpindahan bintang tersebut daripada Santos, pada 2013.

Berdasarkan laporan agensi berita EFE, Hakim Jose Maria Vazquez, akan memindahkan kes tersebut daripada mahkamah nasional kepada Criminal Chamber of the Audiencia Nacional, sebuah badan kehakiman tertinggi di Sepanyol, memandangkan pihak pendakwaan memohon hukuman yang lebih berat daripada penjara lima tahun.

DIS melaporkan terdapat unsur rasuah dan penipuan ketika proses perpindahan Neymar ke Barca, lima tahun lalu.

Mereka mendakwa kos sebenar perpindahan tersebut telah disorok dan perkara itu telah menghalang mereka daripada menerima 40 peratus daripada keuntungan sebenar berdasarkan hak pemilikan pemain.

Syarikat itu turut mendakwa mereka sepatutnya memperoleh lebih daripada EUR6.8 juta (RM32.2 juta) sebaik Neymar melengkapkan perpindahan tersebut.

Kedua-dua tertuduh, bagaimanapun, menafikan sebarang salah laku seperti yang didakwa.