Juara berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) 2019, Kerteh FC, secara rasmi memeterai kerjasama dengan kelab UE Sant Andreu yang berpangkalan di Barcelona, demikian diumumkan kelab itu dalam laman web rasmi mereka hari ini.

Menerusi kerjasama berkenaan, Kerteh FC akan berada di bawah Program Kerjasama Kelab Antarabangsa pasukan Divisyen Trecera itu.

Kerjasama itu melibatkan beberapa perkara penting, termasuk perkembangan pelatih akademi di Kerteh FC dan memberi pelbagai peluang serta manfaat di dalam dan di luar padang.

Ia turut merangkumi perkembangan struktur organisasi kedua-dua kelab supaya lebih berdaya saing.

“UE Sant Andreu menyokong matlamat kami untuk menjadi tempat mengembangkan bakat pemain bola sepak dan mereka yang mempunyai cita-cita beraksi dengan cabaran yang baru,” kata Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, dalam satu kenyataan.

“Kami gembira dengan kerjasama yang terjalin ini kerana ia dapat memasarkan jenama kami di peringkat antarabangsa, khususnya di Sant Andreu."

Tambah kenyataan itu, Kerteh FC mempunyai perancangan jangka panjang yang bukan sekadar ke arah sebuah kelab bola sepak profesional tetapi apa yang lebih penting, dapat melahirkan lebih banyak bakat-bakat bola sepak tempatan pada masa akan datang.