Pasukan Liga M4, Kerteh FC, mengumumkan keuntungan sebanyak 24.1 peratus daripada keseluruhan jumlah pendapatan bagi musim 2019.

Dalam ringkasan Laporan Kewangan yang dikeluarkan semalam, skuad The Oilers menyenaraikan tiga sumber pendapatan kelab iaitu perniagaan, penajaan serta pelaburan.

Bidang perniagaan meliputi minyak dan gas, klinik bola sepak, liga dan pengiklanan, cenderamata serta penstriman perlawanan secara langsung menerusi platform atas talian.

Laporan sama juga menyebut kenaikan kos perbelanjaan dalam menguruskan gaji pasukan Kerteh FC, minyak dan gas, liga, pemasaran dan program pembangunan.

"Ahli Lembaga Pengarah memutuskan untuk tidak mendedahkan jumlah tepat bagi Laporan Kewangan 2019 kepada umum tapi boleh digambarkan melibatkan ratusan ribu ringgit.

"Kami turut terkesan dengan situasi semasa selain bercadang menghentikan sebarang aktiviti selama enam sehingga 12 bulan seperti saranan pihak berkuasa baru-baru ini.

"Apapun, saya lihat masa depan yang cerah untuk kelab ini kerana beberapa lagi berita gembira akan diumum tahun ini.

"Ianya melibatkan usahama dengan kelab luar negara serta prospek untuk memiliki aset kami sendiri," jelas Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim.

Kelab itu pada tahun lalu menjuarai Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) serta turut berpeluang beraksi dalam pusingan kelayakan Piala FA namun tumpas kepada Northern Lion.