Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang membuka lebih banyak pusat Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) di Sabah tahun depan.

Menterinya, Khary Jamaluddin, berkata ia salah satu usaha pihaknya bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri berkenaan.

"Untuk tahun depan, saya harap kami (kementerian) akan buka lebih banyak pusat di Sabah. Memang perancangan kami untuk membuka satu akedemi tunas, pusat latihan daerah bagi setiap sebuah sekolah rendah, sekolah menengah di setiap daerah atau kawasan Parlimen.

"Itu matlamat akhir kami, jadi ia akan berlaku secara berkala dan tahun depan, saya akan pastikan beberapa pusat itu akan dibuka di Sabah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Tapak Warisan Monsopiad, Penampang, hari ini.

Terdahulu, Khairy dalam ucapannya dalam program berkenaan menyentuh mengenai aspirasi untuk membawa skuad bola kebangsaan layak ke Piala Dunia yang diakui antara misi yang sukar dalam TN50.

“Saya rasa misi ke Piala Dunia paling susah dalam TN50, saya rasa kereta terbang lebih mudah tetapi kami akan cuba yang terbaik.

"Kalau dulu berbanding Jepun, kita lebih hebat tapi sekarang mereka setiap kali layak ke Piala Dunia,” katanya.