Keputusan mengenai Aguero akan dibuat saat akhir

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2018 318
Keputusan mengenai Aguero akan dibuat saat akhir
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, akan membuat keputusan saat akhir mengenai tahap kecergasan Sergio Aguero untuk berdepan Hoffenheim dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

City bakal berdepan kelab Bundesliga itu awal pagi esok selepas mereka mengalami kekalahan di tangan Olympique Lyon dalam aksi pembukaan Kumpulan F.

Aguero, penjaring terbanyak kelab, mengalami kecederaan kaki tetapi tetap menyertai skuad yang bertandang ke Jerman dan Guardiola menjelaskan dia akan memberikan penggempur itu masa untuk membuktikan tahap kecergasannya.

"Aksi awal pagi esok adalah perlawanan besar dan Aguero di sini kerana doktor menjelaskan dia boleh beraksi," kata Guardiola.

"Kami akan menentukan esok untuk menggunakan khidmatnya atau Gabriel Jesus.

"Fabian Delph tidak boleh beraksi. Benjamin Mendy mungkin akan turun berdepan Liverpool, Ahad ini, dan kami memiliki tempoh yang cukup.

"Masalah utama adalah mereka masih belum berlatih bersama seluruh pasukan, jadi diharapkan kesemua pemain itu boleh menyertai kami," katanya.

City menerima suntikan semangat apabila Kevin De Bruyne kembali menyertai sesi latihan dan ia lebih awal daripada jangkaan.

Bintang Belgium itu tidak akan beraksi bertemu Hoffenheim dan Guardiola tidak mahu terburu-buru menggunakan khidmat perancang utama itu.

"Hari ini adalah sesi latihan pertamanya sejak kembali bersama pasukan. Jadi, kami akan lihat sama ada dia boleh beraksi."

Guardiola bercakap ketika sidang media semalam dan sebelum itu, kapten pasukan, Vincent Kompany, menyatakan kegembiraan terhadap kepulangan De Bruyne.

"Sukar untuk menjelaskan situasi tanpa De Bruyne," ujar Kompany.

"Dia merupakan salah seorang pemain tengah terbaik, kami meraih lebih banyak gol dan bantuan jaringan bersamanya.

"Kami bernasib baik memiliki pemain yang mampu mengisi kekosongannya. Dia memberikan kesan besar dan anda tidak akan menemuinya di tempat lain dalam bola sepak."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen