Kepulangan Zlatan Ibrahimovic amat bermakna, kata Brahim Diaz 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Januari 2021 484
Kepulangan Zlatan Ibrahimovic amat bermakna, kata Brahim Diaz 
MILAN 2 TORINO 0 

Zlatan Ibrahimovic mampu mencetuskan perbezaan buat Milan dalam perlumbaan gelaran Serie A sebaik pulih, menurut rakan sepasukan, Brahim Diaz.


Penyerang veteran itu melakar 10 gol dalam enam perlawanan liga untuk membantu Rossoneri pada awal kempen 2020-21, namun aksinya terjejas sejak akhir November lalu gara-gara kecederaan. 

Milan, bagaimanapun, terus mempamerkan kemajuan tanpa penggempur itu namun Diaz percaya pemain dari Sweden tersebut akan tetap memainkan peranan penting -- bukan sekadar kelibatnya di atas padang.

Ibrahimovic, 39, dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Torino di laman sendiri, awal pagi tadi, untuk pasukan asuhan Stefano Pioli itu bangkit daripada kekecewaan kepada Juventus yang mengakhiri rekod tanpa kalah mereka pada pertengahan minggu lalu.

"Ibrahimovic merupakan pemain yang mampu membuat perbezaan," kata Diaz dalam wawancara dengan Sky Sport Italia.

“Dia menyalurkan pengalaman hebatnya kepada kami. Dia sudah kembali, kami akan melakukan perkara-perkara hebat.

"Dia menekankan mentaliti kemenangan dan memaksa kami untuk selalu memberikan yang terbaik, setiap hari dia menginginkan yang terbaik daripada diri kami."


 

Diaz memainkan peranan penting dalam membantu pasukannya meraih tiga mata ke atas pasukan di tangga kelapan itu.

Bintang dari Sepanyol, Rafael Leao, menyumbat gol pembukaan tuan rumah sebelum memenangi sepakan penalti yang disempurnakan Franck Kessie sebelum waktu rehat. 

Kemenangan itu membolehkan Milan semakin selesa di puncak dengan kelebihan empat mata selepas pencabar terdekat, Inter dan Roma, hanya mampu seri 2-2 malam tadi. 

Mereka akan sekali lagi berhitung dengan Torino, awal pagi Rabu ini, bagi kempen pusingan 16 Coppa Italia pula.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen