Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, tidak melihat kepulangan Messi ke pangkuan skuad kebangsaan Argentina akan mendatangkan kesan buat pasukan gergasi LaLiga itu.

Messi digantung dan didenda sebanyak AS$50,000 (RM208,275) oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) gara-gara menuduh badan induk itu mengamalkan rasuah ketika Argentina disingkirkan Brazil dalam separuh akhir Copa America, Ogos lalu.

Tonggak utama Barca itu terlepas keempat-empat aksi persahabatan terakhir skuad kebangsaannya disebabkan penggantungan perlawanan itu, namun berada dalam senarai terkini pasukan itu menjelang pertemuan persahabatan dengan Brazil dan Uruguay bulan ini.

Kedua-dua perlawanan itu masing-masing akan diadakan di Arab Saudi dan Israel.

Messi turut berdepan masalah kecederaan musim ini dan ramai beranggapan kepulangannya ke skuad Albiceleste itu bukan sesuatu yang baik buat Barca.

Namun, walaupun intonasi suara Valverde menggambarkan sedikit kegusaran, dia enggan mengakui kepulangan Messi bersama skuad Argentina itu sebagai satu masalah buat pasukannya.

"Lihat, kami sedar jika Messi masih aktif, dia berpeluang cerah untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaannya," katanya kepada wartawan.

"Dia tidak menyertainya (skuad kebangsaan Argentina) kerana penggantungan tetapi ia sudah berakhir dan adalah normal untuk dia kemballi memperkuatkan Argentina.

"Ia sesuatu yang kami dan dia terima. Saya tidak fikir ia satu masalah," katanya.

Pertahanan, Samuel Umtiti, bergelut untuk mengatasi kecederaan sepanjang 18 bulan lalu dan hanya beraksi dalam 15 perlawanan LaLiga sejak awal musim lalu.

Kepulangannya untuk beraksi sewaktu menentang Eibar bulan lalu diakhiri dengan satu lagi kecederaan lutut.

Bagaimanapun, Valverde memberi bayangan pemain itu mungkin diturunkan ketika menentang Levante malam ini.

"Ayuh lihat bagaimana keadaannya dalam sesi latihan.

"Dia mengalami masalah kecergasan sejak tahun lalu dan disebabkan itu, dia amat jarang dapat beraksi.

"Harap-harap kami dapat menyelesaikannya kali ini dan dia dapat diturunkan dengan lebih kerap.

"Tetapi satu perkara lagi adalah persaingan merebut tempat. (Clement) Lenglet beraksi dengan amat baik.

"Dia (Lenglet) seorang pemain yang boleh diharapkan dan amat profesional dalam apa jua yang dilakukan.

"Dia benar-benar sudah membuktikan keupayaannya di posisi itu.

"Selepas tiba di sini musim lalu, dia beraksi dengan amat baik untuk menggantikan Samuel dan pasukan kebangsaan Perancis turut menyedari perkara itu," tambahnya.