Kepulangan Ibrahimovic ke Sweden hangatkan undian kelayakan Piala Dunia

Oleh Shaiful Shamsudin 28 November 2020 2547
 Kepulangan Ibrahimovic ke Sweden hangatkan undian kelayakan Piala Dunia
Belgium dan juara bertahan, Perancis, mengetuai senarai pasukan pilihan utama Eropah dalam kelayakan Piala Dunia dan mereka mungkin harus berdepan pasukan Sweden yang menampilkan Zlatan Ibrahimovic.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan enam balang membabitkan pasukan bertanding berdasarkan kedudukan terbaru menjelang undian di Zurich, 7 Disember ini.

Belgium muncul pasukan nombor satu dunia sementara Perancis menduduki tempat kedua dalam ranking badan induk dunia itu selepas cemerlang dalam Piala Dunia 2018.

Kelayakan zon Eropah bermula dengan tiga perlawanan pada Mac tahun depan iaitu sebelum Euro 2020, yang ditunda akibat COVID-19, berlangsung pada musim panas. 

Balang dua akan menampilkan pasukan handalan seperti Poland, yang pasti mempertaruhkan Robert Lewandowski daripada Bayern Munich manakala Sweden, dijangka menagih semula sentuhan Ibrahimovic.


 

Pemain berusia 39 tahun itu memberi bayangan dia ingin keluar daripada persaraan antararabangsa malah pengurus, Janne Andersson, dilaporkan telah mengadakan pertemuan positif di antara mereka. 

Sekiranya penyerang Milan itu kembali, tidak mustahil skuad kendalian Andersson tersebut boleh mengintai kemaraan lebih jauh dalam Euro 2020.

Andersson menjelaskan di laman sesawang Sweden: "Ketika Zlatan terbuka untuk kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan, rasanya adalah wajar dan penting untuk bertemu dan membincangkannya secepat mungkin.

"Saya gembira kami berjaya mengadakan pertemuan dengan segera."

Ibrahimovic adalah penjaring gol terbanyak negaranya dan pastinya merindui pentas besar.

Dia juga merupakan penjaring terbanyak dalam Serie A musim ini dengan 10 gol dalam enam penampilan.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen