BAYERN MUNICH 5 FREIBURG 0

Keputusan Jupp Heynckes untuk keluar daripada persaraan bagi memegang jawatan pengurus Bayern Munich buat kali kedua nyata berbaloi apabila menewaskan Freiburg 5-0 dalam perlawanan pertamanya di Allianz Arena, malam tadi.

Heynckes kembali menduduki kerusi panas Bayern selepas Carlo Ancelotti dipecat ekoran prestasi pasukan yang merudum sejak awal musim.

Ketika melayani kunjungan Freiburg, Bayern meraih gol pertama seawal minit kelapan apabila Julian Schuster menjaringkan gol sendiri selepas cuba menghalang percubaan Kingsley Coman.

Coman menambah gol kedua buat skuad Bavaria itu pada minit ke-42 apabila menanduk bola masuk selepas penjaga gol lawan, Alexander Schwolow, gagal menampan kemas percubaan Arjen Robben untuk Bayern selesa mendahului 2-0 sebelum rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Freiburg cuba untuk merapatkan jurang, namun Bayern jelas menerima suntikan semangat dengan kehadiran semula Heynckes, apabila Thiago Alcantara menjaringkan gol ketiga menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti, sebelum penyerang Poland, Robert Lewandowski, menambah derita pelawat menerusi gol jarak dekat, 12 minit kemudian.

Pemain skuad kebangsaan Jerman, Joshua Kimmich, melengkapkan malam gemilang di Allianz Arena apabila memusingkan badan untuk menguis bola hantaran Coman di dalam kotak penalti dan memperdayakan Schwolow, yang sekadar mampu melihat bola memasuki gawang untuk menjadikan kedudukan 5-0 dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu meletakkan Bayern kini di tangga kedua liga dengan 17 mata daripada lima kemenangan, dua seri dan satu tewas.