Guillermo Amor memuji Lionel Messi yang pintar selepas membantu Barcelona menundukkan Atletico Madrid 1-0 dalam saingan LaLiga awal pagi tadi.

Jaringan cantik Messi pada minit ke-86 cukup untuk Barca meraih kemenangan di Wanda Metropolitano dan kembali ke puncak liga.

Penggempur itu kini berada dalam prestasi terbaik dan Amor -- yang bertindak selaku pengarah kelab -- memuji aksi terbaru Messi.

"Dia telah kembali ke tahap sebenar," katanya.

"Ia perlawanan yang dimenangi oleh pasukan. Atletico adalah skuad yang hebat dan mampu mencipta kemenangan. Itu jelas.

"Terdapat beberapa fasa dalam perlawanan, di mana permulaan baik Atletico, kemudian kami memberi reaksi dan menamatkan saingan pada tahap terbaik. Dalam babak kedua, kami mengawal dan mendominasi permainan.

"Kami tidak membiarkan mereka dan akhirnya kepintaran Messi memberikan perbezaan."

Messi telah menjaringkan sembilan gol dalam tujuh perlawanan LaLiga tetapi Barca juga memerlukan aksi tangkas penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Amor memuji penjaga gol Jerman itu dan berkata Barca mungkin akan sekadar mengutip keputusan seri jika tidak kerana ketangkasannya.

"Messi membantu dalam banyak perkara dan kami perlukannya lebih daripada biasa kerana dia menghidupkan perlawanan buat Barca. Dia membuatkan pemain lain turut serta," tambahnya.

"Ter Stegen juga cemerlang. Kami mungkin akan seri atau kalah tetapi kami gembira dengan kemenangan."

Aksi seterusnya buat Barca adalah melayan Real Mallorca di laman sendiri Sabtu ini.