Kepa Arrizabalaga yakin bersama skuad Sepanyol selepas mengetepikan aksi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea buat sementara waktu ini.

Kepa merupakan penjaga gol termahal dunia ketika berhijrah ke Chelsea dari kelab LaLiga, Athletic Bilbao dengan yuran perpindahan bernilai 71.6 juta dua tahun lalu.

Bagaimanapun, prestasi kurang cemerlang pemain berusia 26 tahun itu menyaksikan dia kini bakal kehilangan tempat dalam kesebelasan utama selepas Chelsea menandatangani Edouard Mendy.

Kepa beraksi ketika Sepanyol seri tanpa jaringan dengan Portugal awal pagi tadi dan mempamerkan persembahan yang cemerlang, menafikan beberapa peluang buat Portugal mendahului perlawanan.

Setelah itu, Kepa mengakui berasa senang dengan pasukan kebangsaan kerana kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.

"Saya berasa yakin, selesa. Saya berasakan ia adalah perlawanan yang bagus dan saya gembira dengan keyakinan diberikan jurulatih," katanya.

"Apabila saya perlu membantu di padang, saya berusaha melakukan yang terbaik."

"Ia adalah permainan yang sangat hebat. Kami mengawal permainan dalam separuh masa pertama, dalam separuh masa kedua, kami mendapati lebih sukar untuk mengawal peralihan Portugal. Ia adalah ujian yang baik.

"Kita mesti gembira. Kami berdiri teguh hari ini. Kami harus memperbaiki diri kerana kami melepaskan beberapa peluang terhidang, di mana sesuatu yang boleh menghukum kami ketika beraksi dalam kejohanan utama."

Sepanyol menguasai separuh masa pertama tetapi Portugal jauh lebih mengancam dalam separuh masa kedua di Lisbon.