Keningau menjadi destinasi pertama KDMM FC dalam misi mereka mencari pemain untuk diserapkan ke dalam pasukan bagi menghadapi Liga FAM, musim depan.

Kelab yang mewakili Negeri Di Bawah Bayu itu akan mengadakan ujian pemilihan pertama mereka di Kompleks Sukan Keningau, Sabtu ini.

Presiden KDMM FC, Datuk Peter Anthony, berkata ujian pemilihan itu akan bermula pada jam 2.00 petang dengan dikendalikan ketua jurulatih, Andrew Majanggim selain beberapa pegawai pasukan, termasuk Henry Soimpon, Harun Laban, Agustin Paga, Hashim Hamzah dan Ebby Roy.

"Ujian pemilihan ini adalah terbuka tetapi mestilah warganegara Malaysia. Kita alu-alukan pemain yang berpotensi menyertainya, terutama pemain dari pedalaman.

"Kami akan cuba selesaikan ujian pemilihan ini dalam sehari kerana kami akan ke daerah lain lagi untuk tujuan sama selepas itu," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Peter berkata pemain berpotensi yang dikenal pasti daripada ujian pemilihan itu akan disenaraikan untuk ke ujian pemilihan akhir selepas siri jelajah ujian pemilihan di daerah-daerah selesai.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, pemain yang ingin menyarung jersi KDMM FC musim depan perlu menyertai ujian pemilihan, termasuk pemain yang beraksi (bersama KDMM FC) tahun ini.

"Tidak ada tempat automatik. Bekas pemain negeri atau kelab lain juga perlu menyertai ujian pemilihan," katanya.

Pemain yang ingin menyertai ujian pemilihan di Keningau juga diingatkan agar datang dengan kelengkapan bermain.

"Datang awal sebelum jam 2.00 petang dan lakukan pemanasan badan sendiri. Jam 2.00 petang itu adalah masa ujian pemilihan bermula," katanya.

Dalam perkembangan lain, hasrat KDMM FC menggunakan pemain import bagi menghadapi saingan musim depan tertangguh kerana difahamkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan mempertimbangkan penggunaan pemain import untuk saingan liga Piala FAM pada tahun 2018.