Bojan Hodak mendedahkan kesanggupannya mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara merupakan satu cabaran peribadi buat dirinya.

Skuad bawah 19 tahun negara berjaya mencipta impak di bawah kendalian Hodak apabila muncul naib juara Kejohanan AFF Bawah 18 Tahun baru-baru ini.

Beliau menjelaskan tugas mengendali skuad bawah 19 tahun merupakan satu cabaran baru, selepas meraih banyak kejayaan dalam saingan Liga Malaysia.

"Saya hanya berbincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail, selama tiga minit dan baginda memberitahu kepentingan program ini bagi masa depan bola sepak Malaysia dan saya menerimanya," kata Hodak.

"Ia merupakan satu cabaran peribadi buat saya kerana telah berjaya memenangi semua gelaran dalam saingan Liga Malaysia dan ini merupakan satu cabaran yang berbeza," tambahnya.

Pengendali berusia 46 tahun itu turut menyatakan bahawa mengendali pasukan UPB-MyTeam FC pada awal kariernya telah banyak membantunya memahami pemain-pemain muda.

"Pada saya, tidak banyak beza kerana di awal karier saya di Malaysia, saya mengendalikan UPB-MyTeam FC dan ketika itu saya membawa masuk ramai pemain-pemain muda dan sebilangan daripada mereka telah berkhidmat untuk pasukan negara.

"Kesukaran hanya dihadapi pada awal sahaja, persefahaman di antara jurulatih dan pemain-pemain. Selepas kami meraih kemenangan pertama, mereka mula mendengar arahan yang diberikan.

"Pada usia itu, ia membenarkan mereka untuk mendalami perkara baru dengan lebih segera dan terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki. Pada akhirnya, kami mendapat satu keputusan yang positif serta pengalaman yang berguna untuk mereka," katanya lagi.