Lagenda pasukan Chelsea dan England yang juga bekas jurulatih Sabah, Ken Shellito, meninggal dunia di Kota Kinabalu, pagi tadi.

Shellito, 78, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Minintod di Inanam jam 7.13 pagi.

Mendiang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan, namun dibawa pulang ke kediamannya, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil, berkata beliau bagi pihak persatuan itu turut menyatakan rasa sedih dan dukacita berikutan kehilangan Shellito.

"Mendiang pernah menabur bakti kepada pasukan Sabah selaku jurulatih skuad utama negeri suatu ketika dahulu dan selepas tidak bersama dengan SAFA, mendiang terlibat dalam program pembangunan akar umbi, iaitu pemain muda dengan penubuhan Akedemik Bolasepak Chelsea (kini dikenali sebagai Akademi Bola Sepak Ken Shellito).

"Jasa dan sumbangan mendiang kepada pembangunan bola sepak Sabah amat SAFA hargai dan kenang selama-lamanya..

"Pihak SAFA juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga yang ditinggalkan oleh mendiang," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Shellito atau nama sebenarnya Kenneth John Shellito berasal dari East Ham, London, dikatakan mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu dan kesihatannya semakin merosot sejak Mei lalu sebelum dimasukkan ke hospital untuk rawatan pada 15 Oktober lalu.

Beliau yang mendapat taraf penduduk tetap di negara ini pernah menjadi pengurus Chelsea dan Cambridge United (New Zealand) sebelum berhijrah ke negara ini untuk melatih pasukan Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Mendiang turut menubuhkan Akademi Bola Sepak Ken Shellito yang melatih bakat baru dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Penampang.