BRAZIL 3 KOREA SELATAN 0

Brazil mengurangkan tekanan buat ketua jurulatihnya, Tite, apabila menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan dengan menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi persahabatan di Abu Dhabi malam tadi.


Jurulatih itu berada dalam pemerhatian selepas Brazil gagal meraih sebarang kemenangan sejak menjuarai Copa America, Julai lalu.

Rekod buruk itu merangkumi kekalahan 0-1 kepada musuh tradisi, Argentina, Jumaat lalu, namun mereka menamatkannya dengan aksi cemerlang di Abu Dhabi.

Lucas Pacqueta membuka jaringan pada awal permainan sebelum Philippe Coutinho menggandakannya menerusi sepakan percuma gemilang.

Pertahanan Juventus, Danilo, melengkapkan kemenangan itu menerusi gol tandukannya dalam babak kedua.

Paqueta memecahkan kebuntuan pada minit ke-10 apabila pertahanan sayap Atletico Madrid itu menanduk masuk bola daripada hantaran lintang Renan Lodi.

Lodi terus memberikan ancaman di bahagian depan sambil Korea Selatan sekali-sekala mencipta bahaya dalam babak pertama.

Son Heung-min melakukan percubaan lencong yang sedikit tersasar, namun perjalanan Korea Selatan semakin sukar sebaik Coutinho menjaringkan gol kedua Brazil.

Pemain sayap Bayern Munich itu merembat tepat ke penjuru kiri atas menerusi sepakan percuma selepas Hwang Ui-jo mengasari Fabinho.

Korea Selatan hampir memperoleh talian hayat mereka tetapi penjaga gol Brazil, Alisson, bertindak tangkas untuk menafikan sepakan percuma rendah Jung Woo-young sambil Coutinho hampir terjaring gol ke gawang sendiri susulan percubaan itu.

Bagaimanapun, Brazil berada di kedudukan lebih selesa selepas sejam perlawanan apabila Danilo merembat kencang bola daripada hantaran ke belakang Lodi untuk menewaskan Cho Hyun-woo biarpun penjaga gol itu cuba menghalangnya dengan kedua-dua belah tangan.

Brazil kemudian mengendurkan asakan mereka untuk menamatkan perlawanan manakala Korea Selatan terus gagal menghasilkan sebarang gol dalam tiga perlawanan berturut-turut.