JERMAN 2 ARAB SAUDI 1

Jerman akhirnya mencatat kemenangan pertama sejak Oktober tahun lalu apabila menundukkan Arab Saudi 2-1 dalam perlawanan pemanas badan terakhir di BayArena, awal pagi tadi.


Juara Piala Dunia 2014 itu gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima aksi persahabatan terakhir, termasuk kekalahan mengejut 2-1 di tangan Austria pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, beraksi di depan penyokong sendiri, skuad kendalian Joachim Low itu hanya memerlukan lapan minit untuk menceriakan peminat-peminat Die Mannschaft dengan jaringan pertama.

Tindakan bijak Marco Reus yang melakukan sentuhan terhadap bola hantaran jauh daripada Joshua Kimmich membolehkan penyerang RB Leipzig, Timo Werner, mudah menolak masuk gol pertama menewaskan penjaga gol, Abdullah Al Muaiouf.

Reus hampir melebarkan kedudukan empat minit kemudian menerusi rembatan separuh voli dari jarak 20 ela tetapi percubaan bintang Borussia Dortmund itu sedikit tersasar ke kiri gawang.

Werner juga berpeluang untuk menambah jaringan peribadi pada minit ke-33 selepas gerakan yang dilakukan oleh Reus dan Thomas Muller, namun tandukannya gagal mengenai sasaran.

Ketika separuh masa pertama berbaki dua minit, Jerman menyumbat gol kedua, kali ini hasil jaringan sendiri oleh Omar Hawsawi, selepas benteng pelawat itu cuba untuk mengeluarkan bola hantaran leret daripada Werner.

Memasuki babak kedua, Julian Draxler hampir menjadikan kedudukan 3-0 selepas menerima hantaran leret Jonas Hector dari sebelah kiri tetapi sepakan kaki kanannya sempat diselamatkan oleh Al Muaiouf.

Arab Saudi yang sesekali melancarkan serangan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-84 setelah Taisir Al-Jassim dijatuhkan oleh Sami Khedira.

Pemain gantian, Mohamed Al-Sahlawi, ditugaskan untuk mengambil tendangan itu tetapi sepakannya dihalang oleh penjaga gol kedua Jerman, Marc-Andre ter Stegen, sebelum Al-Jassim menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Walaupun Arab Saudi yang dikendalikan oleh Juan Antonio Pizzi cuba untuk mendapatkan gol penyamaan, skuad Die Mannschaft kekal bertahan untuk memastikan kemenangan diraih dalam aksi persahabatan terakhir.

Arab Saudi bakal membuka tirai Piala Dunia 2014 dalam aksi pembukaan menentang tuan rumah, Russia, pada 14 Jun nanti manakala Jerman yang turun selaku juara bertahan akan memulakan kempen kali ini menentang Mexico, empat hari kemudian.