INTER 2 LUDOGORETS 1
(Inter mara dengan agregat 4-1)

Antonio Conte memuji persembahan Inter ke atas Ludogorets dalam pertemuan kedua pusingan 32 Liga Europa selepas terpaksa mengharungi perlawanan di stadium tertutup.


Sentuhan pemusnah daripada Cristiano Biraghi dan Romelu Lukaku memastikan kemenangan 2-1 kelab Itali itu di San Siro, awal pagi tadi, biapun Cauly terlebih dahulu membuka gol buat Ludogorets, yang tewas 0-2 dalam aksi pertama.

Kekhuatiran terhadap wabak koronavirus di Itali menjadi punca penyokong tidak dibenarkan menghadiri perlawanan itu dan Conte selaku pengurus Inter mengakui keadaan itu telah mempengarungi kerancakan permainan.

"Saya juga pernah mengendali perlawanan di dalam stadium tertutup ketika Itali menentang Croatia," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia satu atmosfera yang aneh dan ia bukan mudah. Perlawanan ini seperti sesi latihan.

"Saya perlu mengatakan bahawa pemain-pemain saya telah mengambil pendekatan yang betul hari ini sekalipun kami ketinggalan. Kami telah membuat rombakan dengan memberi peluang kepada beberapa pemain peluang beraksi dan kini kami perlu mengalihkan perhatian."

Pertemuan Serie A dengan Sampdoria pada hujung minggu lalu terpaksa ditangguhkan berikutan penyebaran wabak itu sementara kunjungan ke pendahulu, Juventus, pada awal Isnin ini juga akan diadakan di gelanggang tertutup di Turin.

Nerazzurri tewas 1-2 kepada Lazio dalam aksi terakhir liga untuk dipisahkan enam mata dengan Juve sambil memiliki kelebihan satu perlawanan.


Conte mengakui pertembungan Derby d'Italia itu serta kunjungan ke Napoli boleh menentukan sejauh manakah kemampuan pasukannya untuk menjadi pencabar gelaran yang serius.

"Kami akan melalui beberapa perlawanan penting termasuk bertemu Juventus," katanya lagi.

"Saya percaya ia akan menggambarkan tahap, laluan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap itu."