Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, tidak meletakkan kemenangan sebagai keutamaan, sebaliknya ingin mencari satu kepuasan dalam corak perlawanan yang bakal ditampilkan barisan pemainnya dalam aksi persahabatan di Qatar, Jumaat ini.

Aksi persahabatan berdepan skuad kebangsaan B-19 Qatar begitu penting untuk Hodak menilai barisan pemainnya sebaik mungkin menjelang Kejohanan AFC 2018 yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Bagi Hodak, kemenangan tanpa corak perlawanan menarik adalah sia-sia kerana keutamaan beliau adalah prestasi anak buahnya yang perlu berada di tahap cemerlang sekiranya ingin terus kekal dalam skuad sebelum sesi pemilihan senarai akhir ke Jakarta.

"Menang adalah baik tetapi saya mahu menguji pemain-pemain dalam perlawanan berdepan Qatar. Tidak semua pemain akan beraksi tetapi ia adalah peluang terakhir saya menguji skuad B-19 ini," kata Hodak.

Seramai 24 pemain yang dipilih sudah terbang ke Qatar hari ini, termasuk tonggak utama, Akhyar Rashid, yang sebelum ini mengalami kecederaan harmstring.

Bagaimanapun, Hodak enggan khidmat Akhyar digunakan sepenuh masa dalam perlawanan itu untuknya tetap berwaspada akan risiko kecederaan berulang.

"Akhyar mengalami kecederaan ringan sebelum ini. Dia mungkin akan beraksi dalam tempoh yang singkat bagi membiasakan diri dengan situasi pertandingan sebenar nanti," tambahnya.