SLAVIA PRAGUE 1 INTER 3

Pengurus Inter, Antonio Conte, percaya sokongan padu daripada penyokong di San Siro kelak boleh menjadi pendorong buat skuad bimbingannya itu untuk melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) selepas meraih kemenangan ke atas Slavia Prague pada lewat permainan.


Anak buah Conte berkenaan menang 3-1 ke atas Slavia awal pagi tadi untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan F itu bagi mengatasi Borussia Dortmund yang berada di tangga ketiga menerusi rekod pertemuan kedua-dua pasukan.

Dua gol daripada Lautaro Martinez manakala satu oleh Romelu Lukaku memastikan mata penuh buat Inter walaupun mereka terpaksa menunggu sehingga sembilan minit menuju akhir permainan bagi memuktamadkan kemenangan.

Inter sedar kemenangan ke atas Barcelona -- yang sudah layak sebagai pemenang juara kumpulan -- dalam perlawanan terakhir di kandang sendiri pada 11 Disember ini bakal mengesahkan tiket buat mereka dalam pusingan 16.

Conte memberitahu Sky Sport Italia: "Satu-satunya cara untuk menyalakan peluang kemaraan menjelang perlawanan terakhir dengan Barcelona adalah menerusi kemenangan ini dan kami berjaya melakukannya.

"Kami berasa lega memandangkan kami mahu menghidupkan peluang kemaraan dan dalam momentum kemenangan menjelang perlawanan terakhir. Nasib kami berada di tangan kami sendiri.

"Kami bakal menghadapi perlawanan yang sukar tetapi kami boleh bergantung kepada 70,000 penyokong yang boleh mendorong kami di San Siro kelak. Kami bermain sebagai sebuah pasukan ketika melawan Slavia."

Conte berasakan perkongsian jaringan di antara Martinez dan Lukaku memainkan peranan penting dalam kemenangan itu tetapi percaya pasangan berkenaan belum menunjukkan potensi penuh mereka.

Tambahnya: "Kedua-dua penyerang itu berbisa dan saya sangat gembira dengan mereka. Mereka berjuang secara fizikal dengan pemain Slavia memandangkan dalam pertemuan sebelum ini, mereka bergelut untuk melakukannya.

"Kita sedang bercakap mengenai dua pemain yang belum lengkap. Lukaku mempunyai potensi besar, dia masih perlu diberi galakan. Lautaro pula baru berumur 22 tahun.

"Tetapi selepas empat bulan, kita sudah melihat perbezaannya. Barisan pemain saya pada umumnya lebih mantap, jelas sekali mereka semakin berkembang."

Martinez menyumbat gol UCL kelimanya musim ini yang juga dalam perlawanan keempat berturut-turut sementara jaringan Lukaku itu pula adalah yang pertama buatnya bersama Inter dalam pertandingan tersebut.

Walaupun mengetuai carta jaringan di pentas Eropah itu, Martinez berkata baik dia sendiri mahupun Lukaku tidak menghiraukan soal jumlah jaringan individu.

"Saya selalu mengatakan bahawa saya tidak peduli siapakah yang membuat jaringan selagi pasukan kami meraih gol dan menang," katanya.

"Kami berusaha setiap hari untuk membantu mencipta perpaduan di padang dan mengenai perkara-perkara seperti itu. Romelu adalah seorang pemain yang hebat dan hubungan kami adalah mesra. Kami berdua lebih peduli mengenai pasukan berbanding soal jaringan kami.

"Kami membuat banyak kemajuan sejak bertemu Borussia Dortmund yang menyaksikan kami menguasai babak pertama sebelum tergelincir dalam permainan itu.

"Kami membuktikan bahawa kami boleh bersuara dalam UCL ini dan kami percaya mampu mencapai pusingan 16."