Kemenangan di Madrid cetus keyakinan

Oleh Penulis Jemputan 28 September 2017 714
Kemenangan di Madrid cetus keyakinan
Kejayaan menewaskan Atletico Madrid 2-1 di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memberikan keyakinan buat Chelsea untuk menentang Manchester City bagi aksi liga Sabtu ini.

Pendapat itu disuarakan pemain sayap Chelsea, Eden Hazard, selepas kepulangannya ke dalam kesebelasan utama berjaya membantu The Blues bangkit daripada ketinggalan untuk menghampakan ribuan penyokong Atletico di Wanda Metropolitano.

"Kami amat yakin, percayalah. Manchester City juga berada dalam keadaan bagus menjelang aksi pada Sabtu.

"Dua pasukan hebat, dua pengurus yang berkaliber bersama ramai pemain yang hebat di atas padang, kita akan tahu nanti.

"Kami mahu beraksi dalam perlawanan sebegini. Bermain untuk Chelsea -- salah sebuah pasukan terbesar di England -- membuatkan kami mahu memenangi setiap perlawanan," kata Hazard.

Pengurus Chelsea, Antonio Conte, turut menghamburkan pujian buat Hazard selepas mempamerkan aksi memukau buat gergasi London itu.

"Kami harus berasa gembira kerana saya rasa prestasi Hazard amat hebat. Ia adalah perlawanan besar pertama buat Hazard sejak kembali daripada kecederaan patah buku lali, namun dia menunjukkan permainan positif serta berganding hebat bersama Alvaro Morata.

"Buat Morata, pastinya mudah untuk beraksi bersama pemain seperti Hazard," ujar Conte.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen