AC MILAN 1 INTER MILAN 0

Penyerang AC Milan, Patrick Cutrone, percaya gol masa tambahan yang dijaringkannya ketika menewaskan Inter Milan 1-0 dalam suku akhir Coppa Italia di Stadium San Siro awal pagi tadi akan memberikan rangsangan semangat yang sangat diperlukan.


Pemain muda itu masuk dari bangku simpanan bagi meleraikan kebuntuan pada minit ke-104 untuk membawa pasukannya menempah slot menentang Lazio dalam separuh akhir.

Milan tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, juga kalah 3-2 dalam pertemuan 'derby' terakhir dengan Inter pada 16 Oktober lalu.

Pemain berusia 19 tahun, Cutrone, tampil menyudahkan hantaran sempurna daripada Suso untuk mengembirakan penyokong skuad Rossoneri.

"Menjaringkan gol di hadapan penyokong sendiri adalah luar biasa," kata Cutrone. "Saya fikir kami memerlukan kemenangan ini untuk semangat. Derby tidak boleh digambarkan sebagai perlawanan biasa.

"Sekarang kami menikmati kemenangan ini dan laluan ke pusingan seterusnya, maka esok kami akan mula bersiap untuk menentang Fiorentina dalam aksi liga Ahad ini," katanya.

Milan berada lapan anak tangga di bawah Inter dalam carta Serie A dan terpaksa memulakan penjaga gol ketiga mereka, Antonio Donnarumma, kerana adiknya, Gianluigi, direhatkan akibat masalah pangkal paha dan Marco Storari pula cedera dalam sesi pemanas badan.

Tetapi Donnarumma berjaya menyelamatkan beberapa percubaan awal, menghalang rembatan jarak dekat Joao Mario dan membolehkan Cutrone muncul penjaring gol kemenangan.

"Impian saya adalah kekal di sini kerana saya sukakan Milan dan saya mahu kekal bersama pasukan ini," tambah Cutrone.

"Pergerakan saya di padang dirangsang oleh tahap 'dahaga' dan tekad saya. Saya tampil dari bangku simpanan dan benar-benar mahu menjaringkan gol."