Zinedine Zidane bertekad untuk menamatkan musim dengan kejuaraan selepas Real Madrid kembali menjalani latihan pada minggu ini.

Pengendali Los Blancos itu mengetuai sesi latihan di Valdebebas pada minggu ini tatkala pemain dibenarkan berlatih dalam kelompok kecil.

Tatkala saingan 2019-20 LaLiga diharapkan bersambung selepas ditangguhkan Mac lalu akibat coronavirus, ia mungkin dijalankan semula bulan depan.

Real kini dua mata ketinggalan di belakang pendahulu, Barcelona, tetapi Zidane fokus untuk mencabar kejuaraan liga jika kempen bersambung.

"Minggu ini sangat bagus kerana kami dapat bekerja dalam kelompok kecil. Kami boleh membuat banyak taktikal, fizikal dan teknikal," katanya.

"Pasukan tampak lebih baik pada minggu ini dan minggu depan pasti lebih bagus.

"Kami harus berfikir secara positif kerana bernasib baik dapat kembali bekerja berada di padang dan ia tampak bagus buat saya. Pemain kini sedar perlu menggunakan peluang yang ada.

"Kami memiliki 11 lagi baki perlawanan dan sedang mempersiapkan diri untuk menamatkan musim dengan baik.

"Akhirnya, paling penting adalah memberikan segalanya untuk memenangi sesuatu. Kami berada di sini dan DNA kelab ini adalah memenangi trofi.


"Saya gembira dapat kembali bekerja dengan pemain. Ia sangat penting selepas 20 hari. Kami gembira untuk kembali ke Valdebebeas.

"Kami merancang program dengan jurulatih kecergasan dan pemain juga gembira dapat kembali berlatih bersama, menikmati apa yang mereka suka iaitu bola sepak."