REAL SOCIEDAD 1 BARCELONA 6

Pengurus Barcelona, ​​Ronald Koeman, amat seronok untuk menyambut hari jadinya yang ke-58 dengan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Real Sociedad.


The Catalan kembali mengekori pendahulu Laliga, Atletico Madrid, dengan empat mata awal pagi tadi menerusi persembahan terbaik mereka di bawah kendalian Koeman.

Dua gol masing-masing daripada Sergino Dest, yang mencatat gol sulung bersama kelab, dan Lionel Messi -- yang melakukan penampilan ke-768 bersama kelab itu -- ditambah pula jaringan daripada Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele memastikan keunggulan mereka untuk merakamkan kemenangan kesembilan berturut-turut.

Koeman gembira melihat gol-gol itu dikongsi dalam kalangan empat pemain dan bukan hanya sekadar sumbangan daripada ketua pasukannya semata-mata, bahkan berbangga dengan corak permainan Barca yang tidak memberi ruang kepada tuan rumah.

"Tidak syak lagi, ini adalah hadiah terbaik yang boleh mereka berikan kepada saya," katanya.

"Saya juga gembira untuk Griezmann dan Jordi Alba yang turut menyambut ulang tahun kelahiran mereka malah bermain hebat.

"Menjaringkan enam gol di Real Sociedad adalah sangat luar biasa. Mereka cuba menekan kami tetapi apabila melihat mereka gagal, mereka mundur selangkah.




"Jaringan pertama memberikan kami ketenangan dan yang kedua pula boleh menjadi penentu. Kami memberikan kesan yang sangat baik terhadap diri sendiri. Kami memberi tekanan tanpa bola dengan baik dan kami sangat berkesan.

"Masih ada jalan yang panjang. Segalanya masih belum diputuskan. Atletico tetap ampuh tetapi ketika mereka menentang Alaves, bukan mudah untuk mereka memenangi perlawanan. Real Madrid juga dalam perlumbaan jadi kami tidak boleh mengetepikan mereka juga.

"Kami turun dengan keputusan yang hebat dan membuktikan bahawa kami akan melakukan segalanya. Adalah penting bahawa bukan setakat Messi dapat menjaringkan gol kerana ia menjadikan kami lebih sukar untuk dikekang."

Blaugrana kelihatan semakin tajam berbanding tiga pencabar utama di Sepanyol ketika ini dan Koeman melihat perubahan ketara skuad bimbingannya itu dalam beberapa minggu terakhir.

"Saya tidak boleh mengatakan bahawa kami tidak akan kalah hingga musim ini tetapi jelas sekali kami sedang meniti jalan yang baik. Kami sangat kental daripada segi mental dan fizikal," katanya.

"Kami menghadapi banyak kesulitan sejak awal musim ini. Kami telah mengubah banyak perkara; mana-mana pasukan memerlukan masa untuk belajar. Kami mengalami beberapa prestasi pasang surut dalam LaLiga, dengan kesilapan pertahanan dan kekurangan penyudah. Tetapi adalah jelas kami semakin maju."