Kemenangan bergaya 'El Clasico' tanpa Messi suatu pencapaian hebat -- Busquets

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2018 791
Kemenangan bergaya 'El Clasico' tanpa Messi suatu pencapaian hebat -- Busquets
Pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets, menyifatkan kemenangan 5-1 dalam aksi 'El Clasico' tanpa Lionel Messi sebagai "pencapaian hebat".

Luis Suarez menjadi duri dalam daging tanpa kelibat Messi yang tersisih akibat patah tangan dengan meledak hatrik dalam kemenangan 5-1 ke atas Madrid di Camp Nou, awal pagi tadi. 

Philippe Coutinho dan Arturo Vidal turut berada di dalam senarai penjaring sehingga meningkatkan tekanan terhadap pengendali Madrid, Julen Lopetegui.

Mengulas mengenai keputusan bergaya seperti itu tanpa Messi, Busquets berkata: "Ini satu pencapaian hebat untuk menang 5-1 tanpa Messi," katanya kepada laman sesawang kelab itu.

"Biasanya, apabila kami menghadapi masalah, Leo akan membantu kami tetapi pasukan ini meningkat pada hari ini."

Jaringan Marcelo pada minit ke-50 menghidupkan harapan kebangkitan Madrid dengan menjadikan kedudukan 2-1, namun Barca kembali menggegar jaring sebanyak tiga kali dalam baki 15 minit terakhir permainan. 

Busquets berkata pasukannya menyedari peluang yang terhidang sebaik Madrid cuba meningkatkan asakan.

Beliau berkata: "Kami tahu jika kami dapat menempuhi tekanan diberikan mereka, maka kami akan mempunyai peluang dengan melancarkan serangan balas dan gol yang terhasil membuatkan kami dalam keadaan selesa."

Biarpun Barca hanya berkelebihan satu mata di puncak LaLiga, mereka mempunyai kelebihan tujuh mata dengan Madrid yang menduduki tangga kesembilan. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen