REAL BETIS 1 ATLETICO MADRID 2

Diego Simeone lega apabila Atletico Madrid menamatkan 2019 dengan menewaskan Real Betis 2-1 dalam perlawanan LaLiga di Stadium Benito Villamarin lewat malam tadi dan berterima kasih kepada penyerang gantiannya, Angel Correa.


Selepas menggantikan Thomas Lemar sebelum sejam perlawanan, Correa hanya memerlukan dua minit untuk menjaringkan gol pertama Atletico.

Penyerang itu turut mencetuskan gol kedua pasukannya pada penghujung perlawanan dengan melakukan lintangan rendah yang disudahkan Alvaro Morata dari jarak dekat.

Marc Bartra mengecilkan jurang itu dalam waktu kecederaan tetapi Atletico mengekalkan kedudukan itu untuk mencatatkan kemenangan pertama di gelanggang lawan sejak 25 September lalu.

"Kami gembira kerana kami memerlukan kemenangan ini dan meneruskan peningkatan dalam beberapa perlawanan lalu," kata Simeone.

"Pemain telah melakukan usaha yang baik sepanjang perlawanan.

"Dalam babak pertama, kami pasukan yang lebih baik tetapi jaringan hanya tiba dalam babak kedua.

"Dan kami masih tidak senang sehingga menamatkan perlawanan dengan kemenangan," katanya.

Correa sudah terbiasa untuk memberikan impak dari bangku pemain simpanan -- tiada pemain gantian lain dalam LaLiga yang menjaringkan lebih banyak gol berbandingnya sejak musim 2015-16.

Selepas melihat perkara itu berkali-kali sepanjang beberapa tahun ini, Simeone tidak terkejut dengan perubahan yang dibawa penyerang Argentina itu.

"Dia berlatih dengan gigih dan apabila dia dimasukkan, dia menunjukkan pemain seperti apakah dirinya," katanya mengenai Correa.

"Dia melakukan apa yang diperlukan oleh pasukan ini. Dia seorang yang berbeza.

"Dia telah membuktikannya (sebelum ini) dan ia bukannya secara kebetulan," katanya lagi.