Luis Enrique percaya tindakan peminat Valencia menjadikan Paco Alcacer sebagai sasaran kemarahan adalah perkara biasa yang berlaku dalam bola sepak.

Pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan Valencia untuk bersama Barcelona dengan perjanjian perpindahan yang dilaporkan bernilai € 30 juta (RM136.67j) pada akhir bulan Ogos, dan keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut pada saat kelab itu sedang melalui tempoh sukar, sangat tidak disenangi oleh penyokong.

Sesetengah penyokong bertindak untuk membakar jersi yang tertulis nama pemain kebangsaan Sepanyol itu dan dia menerima kecaman meluas melalui media sosial daripada peminat-peminat Valencia.

Walaupun dia mungkin tidak berada di dalam perancangan Barca menjelang pertemuan dengan Mestalla dalam aksi La Liga malam ini, Alcacer dijangka bakal menerima sambutan dingin daripada bekas kelabnya.

Namun, Enrique melihat perkara tersebut merupakan lumrah dalam bola sepak.

"Valencia mungkin marah kepada Paco Alcacer," katanya. "Tetapi itu merupakan perkara biasa yang berlaku dan ia akan terus berlaku.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan lagi mengenai perkara tersebut. Ini merupakan masa untuk kami memberikan fokus kepada perlawanan liga, jadi kami perlu terus meningkatkan prestasi kami, kerana kami tidak boleh lagi kehilangan mata."