Neymar perlu direhatkan dalam tiga perlawanan bersama Paris Saint-Germain (PSG) ekoran kecederaan paha sekali gus Brazil mungkin terlepas peluang menagih sentuhannya dalam kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan bulan depan.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya bertahan 28 minit ketika PSG menang 2-0 ke atas Istanbul Basaksehir dalam Liga Juara-Juara (UCL) kelmarin.

Mulai awal pagi esok, gergasi Ligue 1 itu akan mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu sebelum rehat antarabangsa apabila dijadual bertemu Nantes dan Rennes dalam saingan liga selain menyambung perjuangan dalam UCL berdepan RB Leipzig pada pertengahan minggu depan.

"Kami sedih. Dia mengalami kecederaan kecil di bahagian paha. Dia akan kembali selepas rehat (antarabangsa)," kata pengurus PSG, Thomas Tuchel, kepada PSG TV.

"Saya rasa dia tidak dapat beraksi untuk Brazil. Jika dia terbabit kesemua perlawanan, itu bermakna dia tidak tercedera, tetapi ketika ini sebaliknya. Laporan kami mengatakan dia hanya akan kembali selepas rehat antarabangsa."

Brazil bakal menghadapi Venezuela pada 14 November ini dan Uruguay empat hari kemudian.