Philippe Coutinho beraksi cemerlang di sebalik bayangan Neymar dan bakal memainkan peranan utama dalam usaha Brazil menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam, kata Roberto Carlos.

Bintang Barcelona itu menjaringkan dua gol selepas tiga perlawanan di Russia sambil Neymar hanya mengutip satu jaringan ketika Brazil menundukkan Costa Rica 2-0.

Penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu mendominasi segenap perhatian berbanding rakan sepasukannya itu walaupun Coutinho dilihat tampil lebih cemerlang.

Carlos, yang merupakan bekas benteng skuad Selecao dan memenangi Piala Dunia pada 2002, berharap agar Coutinho dapat mengekalkan persembahan terbaiknya.

"Coutinho berada dalam detik yang terbaik bersama Barcelona dan juga skuad Brazil," kata bekas tonggak Real Madrid itu.

"Dia merupakan pemain penting buat Brazil kerana segala tekanan terarah kepada Neymar dan Coutinho menggunakan kesempatan itu. Skuad Brazil memiliki peluang cerah untuk menjuarai Piala Dunia.

"Neymar menjadi semakin bagus. Dia tenang dan pulih dengan baik daripada kecederaan. Neymar merupakan pemain penting buat Brazil.

"Dia sangat tenang dan itu perkara paling penting. Apabila dia tenang, saya tahu dia akan menyumbang lebih banyak," ujarnya.

Brazil akan berdepan Mexico dalam aksi pusingan kedua malam esok dan Carlos percaya pasukan Selecao tidak akan memandang rendah cabaran skuad yang telah mencipta kejutan itu.

"Tiada aksi yang mudah dalam Piala Dunia.

"Semuanya seimbang. Jika mahu bergelar juara, Brazil harus melepasi segala kesukaran tetapi saya rasa kami mempunyai pasukan yang hebat dan kami akan mendapatkan trofi semula.

"Berhati-hati dengan Mexico. Mereka tampak seperti pasukan yang biasa tetapi Mexico mempunyai skuad yang penuh kualiti."