Tan Cheng Hoe tidak mahu terus terbuai dengan perubahan drastik kenaikan sembilan anak tangga dalam ranking dunia selain mengisi kedudukan 34 terbaik Asia sedangkan misi negara lebih besar daripada itu.

Jurulatih skuad negara itu meluahkan perkataan lega selepas skuad negara melepasi ranjau awal di peringkat play-off kelayakan dengan mengetepikan Timor Leste 12-2 secara agregat, minggu lalu.

Tetapi itu hanya hakikat sementara buat Cheng Hoe.

Malah, beliau dia sudah memikirkan rangka baru untuk membuktikan bahawa lebih banyak yang boleh ditawarkan barisan pemainnya demi mengubah wajah skuad kebangsaan yang suram hampir sedekad.

"Kami mengharapkan keputusan yang lebih baik dapat dilakar tetapi dalam masa yang sama, sedar bukan mudah untuk menghadapi pasukan yang jauh lebih baik dalam pusingan kedua.

"Apa yang penting, pemain perlu sentiasa bersedia," katanya.

Skuad kebangsaan melonjak ke tangga ke-159 dunia dan ia masih bukan kedudukan yang boleh dibanggakan meskipun Harimau Malaya bakal ditempatkan dalam balang 4 yang menawarkan sedikit kelebihan.

Namun, hakikat berdepan tiga pasukan daripada balang 3 perlu dijadikan sebagai peluang melakar kejutan.

"Pasukan yang ditempatkan dalam balang 1 hingga 3 adalah skuad handalan.

"Jadi, saya sering berpesan kepada pemain supaya melakukan latihan tambahan (untuk memperbaiki sentuhan mereka)," jelasnya.