Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, berpendapat diri sendiri sebagai musuh utama anak buahnya walaupun skuad Harimau Malaya tampak tidak berdepan masalah untuk menewaskan Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Buat kali pertama, skuad negara dicanang sebagai pasukan pilihan selepas mengharungi empat perlawanan dalam kempen kelayakan kali ini.

Ia membabitkan pertemuan menentang Indonesia esok setelah anak buah Cheng Hoe itu tampil garang menumbangkan Thailand 2-1, Khamis lalu.

Namun, pengendali itu menganggap situasi itu juga sebagai tekanan, apatah lagi penyokong negara meletakkan harapan yang cukup tinggi buat pasukannya.

Justeru, dia mahu pemainnya bijak menangani tekanan, terutama diri sendiri, untuk memastikan persembahan di atas padang tidak terjejas.

"Kami tidak boleh melihat setiap perlawanan itu tanpa tekanan kerana lawan juga mempersiapkan diri. Saya harap pemain faham situasi itu dan tahu untuk menghadapinya," katanya.

Sementara itu, benteng akhir skuad negara mahu memastikan pertemuan menentang Indonesia sebagai aksi pertama mereka tidak dibolosi lawan.

Hasrat berkenaan disuarakan bek tengah kebangsaan, Shahrul Saad, setelah pasukannya itu dibolosi sejak kemenangan 3-2 ke atas skuad Garuda di Jakarta, September lalu.

"Dalam beberapa perlawanan terakhir, walaupun kami meraih kemenangan, saya hanya mahu memastikan tidak dibolosi tetapi tidak berjaya. Ia bukan sahaja pertahanan tetapi melibatkan semua pemain," katanya.