Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, membayangkan tiada ruang lagi untuk perubahan tarikh baru.

Cadangan tarikh untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 telah pun diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tarikh cadangan untuk aksi kelayakan melibatkan pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada 8 dan 13 Oktober manakala Thailand pada 17 November depan sudah tidak boleh dipertikaikan lagi.

Walaupun ia hanya dilabelkan sebagai tarikh cadangan, badan induk Asia itu tidak memiliki banyak ruang untuk memperuntukkan pelan kedua sekiranya wabak koronavirus baru (Covid-19) belum pulih sepenuhnya.

"Buat masa ini kami tidak mempunyai sebarang perancangan kerana perlawanan sepatutnya diadakan pada bulan ini.

"Kami tidak mempunyai tahun depan (jadual padat) sekiranya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memberi kelonggaran dalam soal kalendar (perlawanan)," katanya ketika diwawancara Norsyarafina Nasrom dalam Nadi Arena sebentar tadi.

Hakikatnya, pusingan kedua bagi aksi kelayakan itu perlu dihabiskan pada November berikutan undian untuk pusingan ketiga yang melibatkan 12 pasukan terbaik Asia akan diadakan pada Disember.

"Ada slot pada Disember depan tetapi kami ingin memberi peluang kepada pasukan untuk mengatur perlawanan persahabatan."