Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Tak perlu takut -- Cheng Hoe

Oleh Staff Writer 16 Oktober 2019 347
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Tak perlu takut -- Cheng Hoe
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tidak gusar dengan kejutan yang dilakukan Thailand ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjelang pertemuan pasukannya dengan skuad Gajah Perang di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

Thailand mencipta sensasi tersendiri apabila menewaskan UAE 2-1 dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di laman sendiri semalam di Bangkok.

Mengejutkan ramai pihak, keputusan itu bagaikan satu amaran kepada anak buah Cheng Hoe yang bakal menerima kunjungan skuad kendalian Akira Nishino itu bulan depan.

Begitupun, ia tidak menghadirkan rasa gerun kepada Cheng Hoe yang kekal dengan sikap positif untuk misi wajib menang pasukannya dalam pertemuan itu nanti.

"Kami tidak boleh menilai mutu pasukan tersebut berdasarkan satu perlawanan. Saya berasakan kami tidak perlu berasa gementar dengan kemampuan lawan dan yakin beraksi di laman sendiri akan membantu melonjakkan mutu permainan skuad negara," kata Cheng Hoe.

Pengendali berusia 51 tahun itu melakukan risikan awal apabila terbang ke Thailand untuk menyaksikan perlawanan antara Thailand dan UAE di Stadium Thammasat.

Berdasarkan rumusan awal, jurulatih kelahiran Kedah itu mengakui Thailand mempunyai skuad seimbang dengan beberapa pemain pasukan itu dilabel sebagai ancaman berbahaya.

"Kami perlu menghalang setiap hantaran Thailand dan tidak membenarkan pemain-pemain melakukan larian. Saya juga berasakan kami perlu mengelak daripada melakukan kesilapan untuk mudah dibolosi."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen