Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Sumareh mahu lepas geram

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Sumareh mahu lepas geram
Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, sedia menjadikan aksi berdepan Vietnam malam ini sebagai pentas 'melepaskan geram' setelah terlepas peluang beraksi dalam perlawanan terdahulu bersama skuad Harimau Malaya.

Sumareh tidak beraksi ketika skuad negara membenam Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Bukit Jalil, Sabtu lalu tatkala pemain kelahiran Gambia itu sekadar memanaskan bangku penonton kerana masih menjalani penggantungan bagi perlawanan antarabangsa.

Namun, menjelang aksi ketiga Kumpulan G, saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh malam ini, Sumareh boleh diturunkan, sekali gus mengundang keterujaannya untuk kembali di atas padang.

"Dalam aksi sebelum ini, seluruh pasukan memegang bola dengan baik, mengawal permainan serta berupaya melancarkan serangan apabila perlu. Ia satu keyakinan yang baik buat pasukan sebelum berdepan Vietnam," katanya.

Pemain sayap Pahang itu juga mengakui kehadirannya ke Hanoi kali ini untuk melunaskan misi besar skuad negara setelah dua kali dikecewakan oleh lawan, tahun lalu.

Dia optimis hasrat itu mampu dicapai menerusi transformasi Harimau Malaya membabitkan tiga lagi pemain warisan, Brendan Gan, Matthew Davies dan Corbin Ong.
 
"Ia bakal jadi pertemuan yang menarik untuk disaksikan. Ia tidak akan mudah beraksi di Vietnam. Kami bertemu mereka beberapa kali. Siapa yang lebih mahukan kemenangan, mereka akan meraihnya," tambah Sumareh.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen