Skuad bola sepak kebangsaan gagal mengelak 'sumpahan' di Hanoi apabila kecundang 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, malam tadi.

Ibarat aksi ulangan final Piala AFF 2018, skuad negara mengintai peluang untuk mendapatkan kemenangan ketika berdepan skuad Naga Emas itu setelah tewas dalam dua pertemuan tahun lalu.

Namun, skuad Harimau Malaya bermula hambar apabila gawang mereka dibolosi pada minit ke-27, mujur jaringan Nguyen Quan Hai dibatalkan gara-gara ofsaid.

Penyerang itu menebus kehampaannya itu apabila menyempurnakan hantaran kapten Que Ngoc Hai untuk meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-39.

Gawang Harimau Malaya sekali lagi nyaris bocor, mujur percubaan pemain gantian lawan, Nguyen Anh Duch, diselamatkan Shahrul Saad pada minit ke-72.

Terdesak memerlukan gol, skuad negara membuat pertukaran pemain dengan Akhyar Rashid dimasukkan bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha.

Begitupun, usaha itu juga tidak berhasil apabila tiada gol berjaya dijelmakan anak buah Tan Cheng Hoe itu sehingga kedudukan 0-1 kekal memihak Vietnam.

"Saya lega dengan kemenangan yang memihak skuad Vietnam kerana kami boleh melihat pasukan lawan menghadirkan keupayaan mereka untuk menidakkan misi kami bagi mendapatkan tiga mata penuh hari ini (malam tadi)," kata jurulatih Vietnam, Park Hang-seo.

Sementara itu. penolong jurulatih negara, S. Balachandran, pula melontarkan pendapat: "Kami masih di peringkat awal kempen, sudah tentu kami ke mari untuk menang atau setidak-setidaknya meraih keputusan seri yang boleh menjadi keputusan yang baik juga.

"Malangnya, kami tewas tetapi kami akan mengharungi dua lagi perlawanan di tempat sendiri bulan depan."

Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berterima kasih kepada hatrik separuh masa kedua Ali Mabkhout, yang secara tidak langsung membuka laluan kemenangan 5-0 ke atas Indonesia.