Pengorbanan yang akhirnya berbaloi.

Itu kepuasan yang diluahkan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid, apabila meledak dua gol untuk membantu Harimau Malaya menewaskan Indonesia 2-0 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Penyerang kelahiran Dungun, Terengganu itu, berdepan dengan masalah kelesuan sebelum menghadapi Thailand, Khamis lalu, dan Indonesia dalam perlawanan pusingan kedua berkenaan.

Ini kerana faktor kekerapannya beraksi di pentas antarabangsa termasuk di peringkat domestik bersama kelabnya, Johor Darul Ta'zim (JDT), musim ini.

Kurang menyerlah ketika berdepan skuad Gajah Perang, Khamis lalu, Safawi bagaimanapun mempamerkan persembahan memukau ketika menentang skuad Garuda walaupun mengalami demam.

"Ini hasil bantuan daripada semua rakan sepasukan, penyokong dan pegawai.

"Saya perlu berterima kasih kepada semua pihak yang berkaitan dengan pasukan Malaysia dan ia menjadi satu motivasi buat kami," katanya selepas perlawanan malam tadi.