Biarpun menerima pujian melambung selepas menjaringkan dua gol cantik menerusi kaki kiri berbisanya ketika Malaysia menewaskan Indonesia 2-0, Muhammad Safawi Rasid masih kurang berpuas hati dengan prestasinya.

Penyerang berusia 22 tahun itu menjadi watak penting ketika membantu skuad Harimau Malaya membenam musuh tradisi, Indonesia, dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-30 sebelum menggandakan jaringan menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-70 untuk menghidupkan kembali peluang Malaysia dalam kempen kelayakan itu.

Namun, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata banyak yang perlu diperbaikinya menjelang aksi seterusnya dalam kempen itu, iaitu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac tahun depan.

“Alhamdulillah kami dapat mencatat dua kemenangan berturut-turut. Keputusan ini sangat penting untuk meningkatkan keyakinan ketika berdepan UAE di tempat lawan.

“Secara peribadi, saya tak puas dengan apa saya buat, jadi saya perlu memperbaiki lagi (prestasi) dari hari ke hari. Kami sebagai pasukan perlu kekal komited dan bekerja keras untuk meningkatkan kecergasan pada tahun depan kerana ada dua perlawanan di tempat lawan dan satu di gelanggang sendiri,” katanya selepas perlawanan itu.

Rakan sepasukan, Mohamed Syamer Kutty Abba, turut senada dengannya apabila mahu meningkatkan lagi prestasinya selepas menerima pujian penyokong dalam aksi menentang Thailand, Khamis lalu dan Indonesia malam tadi.

“Terima kasih kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, kerana beri kepercayaan kepada saya. Tetapi masih banyak ruang untuk penambahbaikan, jalan masih panjang. Saya kena lihat perlawanan demi perlawanan secara serius untuk perbaiki setiap aspek.

“Insya-Allah kami boleh (layak ke Piala Asia 2023), kami ada tiga perlawanan lagi, kena dapatkan mata maksimum dan kena mempunyai impian besar untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Malaysia kini di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata di belakang Vietnam (11 mata), manakala Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, diikuti UAE (enam mata selepas empat perlawanan) dan Indonesia pula gagal meraih sebarang mata dalam lima aksi setakat ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dan barisan kejurulatihannya atas kejayaan malam tadi yang dianggap sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia bagi penutup musim 2019.

Hamidin yang mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang baru dilantik, Jeneral Polis Mochammad Iriawan, malam tadi turut membincangkan kemajuan bola sepak di antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara mempunyai sejarah cukup lama dalam bola sepak, sekali gus menjadikan perseteruan di atas padang cukup unik. Kami harapkan Harimau Malaya dan Sang Garuda akan terus bersaing secara sihat demi kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi FAM.

-- BERNAMA