Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menyifatkan penundaan tarikh perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dari Mac ke Jun depan merupakan satu petanda positif tetapi mencabar.

Ia kerana Harimau Malaya hampir pasti perlu beraksi di bawah cuaca panas sepanjang berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Cheng Hoe berharap tahun lembu emas sempena perayaan Tahun Baru Cina kali ini akan memberikan tuah kepada Malaysia untuk melunaskan misi layak ke Piala Asia 2023.

"Saya rasa perlawanan ditunda ke bulan Jun merupakan satu petanda yang baik tetapi bermain secara berpusat di UAE bukanlah sesuatu yang mudah kerana kita tahu pada bulan Jun nanti, keadaan di negara-negara Arab sedang berada dalam cuaca yang panas.

"Sudah pasti ada perbezaan waktu dan kami perlu segera menyesuaikan diri dengan situasi di sana.

"Pemain perlu sentiasa bersedia dengan apa jua situasi kerana beraksi dalam cuaca yang agak panas memang memerlukan fokus yang tinggi untuk dikekalkan.

"Saya harap setiap pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan nanti akan memberikan fokus 100 peratus kerana kita tahu jadual tahun ini memang cukup padat buat pemain.

"Kita perlu mengambilnya sebagai satu cabaran buat tahun 2021 ini," katanya.