Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, mengesahkan bahawa perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, yang telah ditunda ke September depan, akan ditunda sekali lagi ke Oktober dan November depan.

Namun, ia juga bergantung kepada keputusan yang akan dikeluarkan oleh ahli gabungan AFC, yang terikat dengan liga domestik masing-masing.

Selain itu, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC akan turut terkena tempias yang disebabkan penjadualan semula itu akibat daripada pandemik Covid-19.

Dalam laporan Nadi Arena hari ini, Windsor berkata: "Pusingan kedua pusingan kelayakan Piala Dunia, di mana masih berbaki empat perlawanan, hanya akan diadakan pada bulan Oktober dan November dan bukannya pada September depan.

"Kerana kami mahu memberikan peluang untuk setiap pasukan melengkapkan liga domestik mereka dan pasukan kebangsaan mereka juga dapat melalui persiapan yang mencukupi.

"Di antara tempoh itu, kami juga akan melihat untuk menyelitkan beberapa perlawanan ACL.

"Secara amnya, ia dapat menyediakan pemain bukan hanya untuk menghadapi perlawanan antarabangsa yang mencabar, tetapi juga melengkapkan perlawanan ACL," katanya.