Jurulatih skuad negara,Tan Cheng Hoe, percaya terhadap kematangan anak buahnya untuk tidak termakan dengan 'umpan' Thailand yang dilapor menawarkan ganjaran RM1 juta kepada pemain-pemainnya jika mengalahkan Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Khamis ini.

Kekuatan mental pemain negara untuk berdepan Thailand tampak sudah teruji sebelum perlawanan.

Ini selepas lawan melancarkan perang psikologi apabila mengumumkan imbuhan besar kepada pemain dan jurulatih untuk mengalahkan Malaysia.

Difahamkan, mereka akan menerima ganjaran mencecah RM1 juta jika menang ke atas Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, ia langsung tidak membimbangkan Cheng Hoe, yang sebaliknya optimis terhadap kemampuan pemainnya untuk menghadapi cabaran sebenar.

"Pasukan kebangsaan sudah biasa dengan keadaan ini. Pemain-pemain sudah menjangkakan daripada pihak penyokong dan pengurusan dan skuad Malaysia mahu menghadirkan keputusan yang positif. Kemenangan ke atas Thailand akan menentukan hala tuju pasukan negara," katanya.

Pengendali berusia 51 tahun itu juga enggan panik dengan kajian menyeluruh yang dilakukan oleh jurulatih skuad Gajah Perang itu, Akira Nishino.

Bekas ketua jurulatih skuad Jepun dalam Piala Dunia 2018 itu hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Malaysia dan Tajikistan, Sabtu lalu.

"Kami tidak boleh berasa tertekan menghadapi perlawanan ini. Berjuang sebagai satu pasukan mampu menghadirkan keputusan yang positif," katanya lagi.