KOREA UTARA 0 KOREA SELATAN 0

Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bersejarah di antara Korea Utara dan Korea Selatan di Pyongyang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Kim Il-sung yang kosong.


Kali terakhir Korea Selatan menyeberangi sempadan adalah dalam perlawanan persahabatan pada 1990 tetapi tidak pernah membabitkan aksi kompetitif di bahagian utara sebelum pertemuan malam tadi.

Kedua-dua negara secara teknikalnya masih berperang ekoran hubungan dingin di antara kerajaan.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, turut hadir menyaksikan pertembungan bersejarah itu menerusi imej yang disiarkan di stadium yang kosong.

Satu ringkasan yang dikeluarkan oleh Persatuan BolaSepak Korea Selatan (KFA) menyatakan "kedua-dua pasukan beraksi sengit" apabila empat kad kuning dilayangkan, dua buat setiap pasukan.

Bintang Tottenham, Son Heung-min, juga bermain sepanjang perlawanan buat skuad kendalian Paulo Bento itu.

Keputusan seri berkenaan meletakkan kedua-dua pasukan itu di puncak Kumpulan H hasil daripada tujuh mata selepas tiga perlawanan pusingan kedua kelayakan itu.

Korea Selatan dijadualkan menjadi tuan rumah kepada perlawanan timbal balik pada Jun 2020.