Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, menuntut anak buahnya supaya menutup perlawanan terakhir tahun ini dengan nota kemenangan ketika bertemu Indonesia sebagai hadiah istimewa buat 'ekor sejati' Harimau Malaya.

Tiada apa yang lebih bermakna buat penyokong negara yang akan membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini bagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Walaupun ia bukan tugas mudah, misi itu tetap perlu direalisasikan untuk memastikan skuad kebangsaan terus berpeluang untuk merebut slot automatik ke Piala Asia 2023.

Cheng Hoe menyedari tuntutan yang digalas barisan pemainnya, sekali gus mengisytiharkan misi wajib menang ke atas skuad Garuda.

"Saya sering menasihati setiap pemain agar sentiasa fokus.

"Walaupun berdepan dengan apa jua tekanan sekalipun, kami perlu tetap turun dengan keyakinan, apatah lagi ketika beraksi di stadium keramat, Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kami ingin memberikan aksi terbaik tahun ini," katanya.

Dijangka mengekalkan formasi 4-3-3, jurulatih kelahiran Kedah itu, bagaimanapun, berwaspada dengan kemampuan lawan untuk memberi tentangan walaupun tanpa kelibat tonggak utama.

Ini berdasarkan maklumat yang diperolehnya selepas pelawat mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad belia PKNS FC, Khamis lalu.

"Mereka bawa ramai pemain baru dan ia boleh menjadi faktor motivasi kepada mereka. Sedikit-sebanyak ia membimbangkan.

"Yang penting, kami perlu tingkatkan kekuatan pasukan dan dalam masa sama, kurangkan kelemahan," tambahnya.

Sementara itu, kem Indonesia tetap bersemangat untuk berdepan dengan Malaysia walaupun mereka tampak sudah terkeluar dalam saingan Kumpulan G itu.

Setelah gagal mengutip sebarang mata dalam empat perlawanan, skuad Garuda bakal membariskan rata-rata muka baru dalam usaha mendapatkan kemenangan pertama.

Sandaran skuad itu -- yang kini dipimpin jurulatih sementara, Yeyen Tumena -- kini diletakkan di bahu pemain berpengalaman, Irfan Bachdim, selaku penggempur utama untuk bergandingan bersama Lerby Eliandry Pong Babu dan Septian David Maulana.

"Sudah pasti kami akan mencurahkan segala kudrat.

"Ini satu perlawanan yang diimpikan oleh saya sejak kecil lagi untuk bermain di hadapan stadium yang padat seperti ini.

"Keadaan padang Bukit Jalil tidak begitu baik tetapi ia sebuah stadium yang menarik dan akan sesak dengan penyokong hari ini.

"Kini terpulang kepada kami untuk memberikan aksi terbaik," kata Irfan Bachdim.