Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia dengan apa jua kemungkinan melibatkan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia berikutan kebimbangan wabak Covid-19.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengadakan mesyuarat tergempar melibatkan kesemua negara terlibat semalam.

Badan induk itu kemudian akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) minggu ini.

FAM kini hanya menunggu pengesahan rasmi sama ada perlawanan yang dijadualkan, terutama perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai hujung bulan ini, akan ditunda ataupun tidak.

"Kami masih menunggu keputusan AFC tetapi pada masa ini, SOP (prosedur operasi standard) masih berjalan seperti biasa sehingga pengumuman rasmi," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

"Ia kerana perkara ini akan dibincangkan di tahap FIFA dan FIFA tidak akan hanya memikirkan di peringkat Asia."