Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, selesa dengan pilihan membentuk barisan penggempur meskipun hanya memiliki dua penyerang tulen dalam skuad 23 pemain menghadapi Thailand dan Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selain pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim, dan pemain tengah, Farhan Roslan, Cheng Hoe terpaksa menggugurkan penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi.

Ini bermakna Cheng Hoe hanya memiliki Norshahrul Idlan Talaha dan Syafiq Ahmad yang diklasifikasikan sebagai penyerang tulen dalam skuadnya.

"Shahrel mengalami kecederaan dan kami memerlukan pemain yang berada di tahap terbaik dalam pasukan ini.

"Farhan pula seorang pemain berpotensi tetapi waktu yang singkat untuk dirinya menyesuaikan diri sementara kehadiran Nazirul akan memberikan pilihan untuk mengisi posisi pertahanan kiri," kata Cheng Hoe.

Bagaimanapun, Cheng Hoe memiliki limpahan bakat di bahagian tengah menerusi tujuh pemain di posisi itu sementara Mahmadou Sumareh, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid berperanan sebagai sayap.

Pilihan berkenaan, menurut Cheng Hoe, mampu membantu dalam pencarian gol menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

"Setakat ini, kami memiliki pemain-pemain yang mampu menghadirkan sumbangan kepada pasukan. Seperti yang diketahui, kami hanya menyenaraikan dua pemain penyerang, namun masih terdapat beberapa pemain lagi mampu diserap ke dalam skuad kebangsaan."