Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjadikan kem latihan pusat bulan ini sebagai persiapan paling penting buat Harimau Malaya bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.

Cheng Hoe ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, mengesahkan sebahagian besar pemain utamanya dipanggil untuk kem selama sembilan hari itu sambil diperkuatkan beberapa muka baru, antaranya Luqman Hakim Shamsudin dan Guilherme De Paula.

Bagi melengkapkan senarai 28 pemain yang dipanggil kali ini, bekas pengendali Kedah itu turut menyenaraikan 11 pemain baru iaitu dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC); Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Faisal Halim (Terengganu FC), Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta'zim FC), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC).

Dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara, Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Junior Eldstal (Chonburi FC), tidak dipanggil kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia kemudian kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran buat mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.

Cheng Hoe sebelum ini berhasrat menguji ramai pemain baru dalam kem latihan pusat yang dirancang diadakan Januari lalu sebelum dibatalkan ekoran penularan COVID-19 melanda negara.

"Kami ada lihat (prestasi pemain) dalam liga baru-baru ini malah kami sudah memantau pemain sudah agak lama.

"Yang penting pemain dapat bekerjasama dalam satu pasukan, kami memerlukan kerjasama dan semangat berpasukan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia kelak," katanya ketika ditemui di perkarangan Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Namun, keputusannya kali ini jelas menunjukkan beliau enggan bereksperimen sebaliknya ingin memanfaatkan persiapan skuad negara walaupun perlawanan kelayakan itu ditangguhkan.

Siaran Media: Senarai 28 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya Dari 22 Hingga 30 Mac 2021 Berikut senarai...

Posted by Football Association of Malaysia on Monday, March 15, 2021




Sementara itu, pemilihan pemain K.V. Kortrijk, Luqman Hakim, dari Belgium disambut baik peminat namun sebaliknya terhadap De Paula selaku pemain naturalisasi negara ekoran prestasi hambarnya dalam Liga Malaysia (Liga-M) bersama Perak FC ketika ini .

"De Paula sudah lama dalam kancah di Malaysia.

"Mungkin faktor pertukaran taktikal dan jurulatih, mungkin dia belum serasi dengan jurulatihnya.

"Bukan saya kata jurulatih tersebut (Choong Yee Fatt) tidak bagus, mungkin De Paula perlu mengambil sedikit masa, tapi dia mempunyai penyudah yang baik.

"Mengenai Luqman pula, dia seorang pemain muda yang berpotensi yang besar untuk diketengahkan dalam skuad kebangsaan.

"Dalam perjalanannya bersama skuad B-19 dan B-23 kebangsaan, dia menunjukkan kemajuannya cukup baik daripada segi penyudah dan keberaniannya.

"Sudah banyak kali saya beritahu akan serapkannya dalam panggilan skuad kebangsaan kali ini."