Skuad bola sepak kebangsaan berdepan jadual padat tahun depan yang apabila perlu menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia selain Kejohanan Piala AFF 2020 yang mungkin ditunda tahun depan.

Situasi itu mengundang kegusaran Tan Cheng Hoe yang sedang merangka program latihan yang efisyen.

Tetapi apa yang menjadi keutamaan jurulatih kelahiran Kedah itu ialah kecergasan barisan pemain agar mereka tidak dibebani masalah di kemudian hari.

"Ia satu petanda baik, mungkin tahap Asia belum stabil lagi disebabkan COVID-19.

"Kempen kelayakan Piala Dunia merupakan keutamaan pasukan kebangsaan dan kami harap penundaan tersebut memberi tanda-tanda positif kepada skuad ini," katanya kepada wakil Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini.




Tambahnya, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semestinya menjadi keutamaannya dalam misi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Begitupun, Cheng Hoe sudah mempunyai perancangan membentuk dua pasukan untuk mewakili setiap saingan.

"Kami kena lihat kelayakan Piala Dunia sebagai misi paling penting.

"Kita juga tahu Piala AFF merupakan satu prestij di rantau Asia Tenggara.

"Bukan senang, saya perlu mencatur perancangan terbaik.

"Saya perlu mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Kami tidak mahu membebani pemain-pemain pada musim depan kerana mereka juga akan terlibat dalam liga, Piala AFC atau Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL)."