Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengambil pendekatan berwaspada apabila menganggap Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak berdepan kepincangan bagi menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pasukan itu sekali lagi melakukan pertukaran jurulatih menjelang pertemuan kedua-dua pasukan Oktober ini depan.

Selepas memecat Bert Van Marwjik selaku jurulatih berprofil tinggi Disember lalu, UAE sekali lagi membuat kejutan apabila menamatkan kontrak pengendali, Ivan Jovanovic, semalam.

Ia secara tidak langsung menyaksikan khidmat pengendali dari Serbia itu berakhir lebih awal tanpa sempat menjalani sebarang perlawanan dan ia dipercayai ekoran situasi semasa wabak novel koronavirus (Covid-19).

Ketika ia dianggap khabar positif buat kem pasukan kebangsaan yang akan berkunjung ke Dubai dalam aksi Kumpulan G yang seterusnya, Cheng Hoe bagaimanapun menyuarakan pandangan sebaliknya.

"Hendak kata mereka mengalami kepincangan, tidak kerana mereka tidak menempuhi sebarang perlawanan lagi.

"Lagipun saya rasa liga di UAE juga sedang ditunda .

"Masih ramai lagi pemain mereka yang berkualiti, ia tidak menunjukkan UAE dalam kepincangan.

"Apa pun kami sentiasa bersedia dengan apa jua situasi," katanya ketika dihubungi wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Sementara itu, bekas tonggak negara, Akmal Rizal Rakhli, berpandangan: "Saya berasakan ia satu kelebihan kerana bukan mudah sesebuah pasukan kebangsaan tersebut dapat menyesuaikan diri dengan perancangan di bawah jurulatih baru.

"Tan Cheng Hoe perlu melihat di mana kekuatan dan kelemahan UAE dalam perlawanan sebelum ini dan cuba mengambil kesempatan.

"Mungkin ia peluang yang baik untuk skuad Malaysia untuk mencuba sesuatu yang baru dan mendapatkan satu mata di sana."