Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sudah berkongsi gelisah kerana Liga Malaysia yang hanya bermula September bakal mendedahkan pemain kepada jadual ketat dan risiko kecederaan, namun kebimbangannya terlerai jika tarikh perlawanan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia, dapat diubah mengikuti kesesuaiannya.

Tarikh 8 dan 13 Oktober serta 17 November tidak harus lagi menghantui Cheng Hoe kerana Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberikan jaminan ia bukan sesuatu yang tidak boleh dianjak kerana pandemik Covid-19 sudah mengubah segalanya.

Penekanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sendiri yang mahu bersikap adil kepada semua pasukan, selain FAM juga ada hak untuk buat permohonan penundaan aksi kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 kepada AFC jika Malaysia masih dibelenggu isu Covid-19.

"Situasi yang dihadapi akan menyaksikan saingan kelayakan akan ditunda ke satu tarikh yang baru. Saya berasakan mereka bukan sahaja melihat situasi di Malaysia, tetapi di beberapa negara lain sama ada terdapat penurunan terhadap penularan wabak dan saingan bakal dilanjut sehingga tahun hadapan," kata Hamidin.

Tidak hairan pihak FAM sendiri mengekalkan hajat untuk aksi persahabatan melibatkan skuad negara 4 Oktober dan 1 November 2020 biarpun permohonan kedua untuk mendapat kelulusan aksi liga akan kembali dibuat kurang dua minggu dari sekarang.

Selain daripada itu, terdapat penambahan baru yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Negara (KKM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu usaha mendapatkan slot kem latihan lebih awal melibatkan skuad negara atas alasan ia misi nasional.

Daripada segi tempoh masa, Cheng Hoe mungkin boleh berlapang dada jika saingan kelayakan skuad negara hanya akan bermula Mac tahun depan.

Namun segala-galanya bergantung dengan keadaan semasa yang kembali meletakkan pengendali ini dalam keadaan berteka teki.