Lionel Scaloni gembira melihat perkembangan Lionel Messi bersama Argentina yang dalam persiapan untuk menghadapi Peru dalam kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan (CONMEBOL), pagi esok.

Di sebalik kebimbangan mengenai kecederaan pergelangan kaki, Messi beraksi ketika Albiceleste seri 1-1 dengan Paraguay Jumaat lalu yang menyaksikan gol kedua Argentina dibatalkan dalam babak kedua.

Pengurus Argentina, Scaloni, bagaimanapun gembira dengan situasi Messi yang akan membuat penampilan antarabangsa ke-142 -- sebaris dengan legenda Brazil, Cafu, untuk muncul pemain kelima Amerika Selatan beraksi paling banyak di peringkat antarabangsa.

"Di tahap prestasi, Leo beraksi dengan baik," katanya dalam sidang akhbar.

"Kami tidak bernasib baik kerana mereka tidak mengesahkan gol itu memandangkan kami memperagakan corak permainan yang bagus."

Scaloni menambah: "Saya melihat situasinya dengan teliti dan dia tidak berdepan masalah, itu yang mustahak."




Juara dunia dua kali tersebut akan berusaha melanjutkan rekod tanpa kalah bertemu Peru kepada 16 perlawanan dan Scaloni mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan selamat bersara kepada bekas bintang tengah, Javier Mascherano, yang pernah membantu mereka meraih dua pingat emas Sukan Olimpik termasuk muncul finalis Piala Dunia 2010.

Sementara itu, pengurus Peru, Ricardo Gareca -- mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan awal -- mengakui cabaran menanti pasukannya.

"Berdasarkan kekuatan pesaing kami dan secara logiknya, ini adalah satu cabaran untuk kami berusaha mengatasi kekuatan pencabar," katanya.

"Argentina bukan sekadar memiliki Messi, tetapi mereka memiliki ramai pemain yang bagus di setiap posisi dan kami harus memberikan persembahan hebat untuk mengekang mereka."