PERU 0 ARGENTINA 2

Lionel Messi memuji prestasi Argentina ketika membenam Peru dan percaya mereka semakin ampuh.


Nicolas Gonzalez dan Lautaro Martinez meledak gol dalam separuh masa pertama di Lima, sebentar tadi, untuk mengangkat anak buah Lionel Scaloni itu meraih kemenangan ketiga dalam empat perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan (CONMEBOL).

Albiceleste memanjangkan rekod tanpa kalah mereka kepada 11 perlawanan dengan tiga daripadanya terhasil dalam kempen kelayakan -- sesuatu yang mereka gagal capai sejak 2000.

Ketua pasukan itu ternyata gembira dengan penampilan pasukannya yang sekadar seri di Paraguay, lima hari lalu.

"Seronok dengan kemenangan ini, kami memerlukannya selepas aksi baru-baru ini," kata bintang itu melalui akaun Twitter Argentina.

"Sejak awal-awal lagi kami menampilkan permainan yang menarik jadi jaringan dapat dilakukan selain kami juga menciptakan banyak peluang."

Messi menambah: "Babak kedua dalam perlawanan lalu sebenarnya bagus dan saya rasa (hari ini) kami meneruskan rentak yang sama, bahkan menaikkan tahapnya sedikit.

"Saya rasa inilah pendekatan yang perlu kami lakukan. Sedikit demi sedikit kami menjadi lebih mantap sebagai sebuah kumpulan."




Bintang Barcelona itu membuat penampilan ke-142 bersama pasukan kebangsaannya untuk berdiri sebaris dengan legenda Brazil, Cafu, untuk kemunculan pemain Amerika Selatan kelima terbanyak di peringkat antarabangsa.

Pemenang enam Ballon d'Or itu berazam terus memberikan sumbangan kepada Argentina yang mencipta kemenangan pertama di Peru sejak 2004.

"Setiap kali saya ke mari, saya pasti berusaha melakukan yang terbaik agar saya berasa layak untuk berjuang dengan jersi ini," katanya.

"Saya seronok untuk terus bekerja dan turun beraksi."